Rabu, 7 Januari 2009

Boikot dan memboikot.....

Kebelakangan ini, kita sering mendengar saranan di radio/tv dan di akhbar/blog, oleh pelbagai pihak tidak kira pembangkang/penyokong kerajaan dan NGO untuk memboikot barangan/produk daripada negara tertentu terutamanya Amerika Syarikat. Saranan ini lahir berikutan rasa amarah/dendam kita terhadap tindakan zionis Israel mengganyang umat Islam Palestin. Bukan kali ini saja saranan sebegitu kedengaran, tetapi semenjak bertahun dulu. Kita berkumpul, bersorak, berdemo dan bermemorandum. Persoalannya, mengapa boikot memboikot ini tidak pernah berhasil???

Kita ambil contoh mudah dan popular, Kentucky Fried Chichken (KFC). Mengikut data daripada laman web induk KFC, terdapat 420 buah premis beroperasi di Malaysia. Setiap premis memberi peluang pekerjaan minimum 20 orang. Ini bermakna 420 buah x 20 pekerja bermakna lebih 8000 peluang pekerjaan hanya di restoren tersebut. KFC juga memberi peluang kepada penternak ayam kontrak untuk membekal ayam selain daripada ladang ayam milik KFC sendiri. Penternak ayam kontrak ini kebanyakan adalah bumiputra.

Katakan kempen boikot ini berjaya, KFC mengalami kemerosotan perniaagan dan mengambil keputusan untuk menutup operasi di sini, apakah ada jaminan peluang pekerjaan baru untuk bekas pekerja dan juga penternak ayam yang bergantung harap kepada KFC. Seperti yang kita tahu, peluang pekerjaan menjadi semakin kompetitif disamping kesan daripada kemelesetan ekonomi dunia.

Oleh itu, kita perlu bersedia sebelum kita hendak memboikot sesuatu barangan/ produk. Kita perlu mempunyai alternatif sebelum gerakan memboikot itu dilakukan. Kita perlu menghasilkan produk kita sendiri yang setanding dan dipasarkan secara sistematik. Kita ada Ramlie Burger lebih 20 tahun, tapi tiada satupun restoren Ramlie Burger. Yang bercambah saban tahun hanyalah McD. Ini menunjukkan kita tiada pilihan untuk berubah. Itu baru makanan ringan, belum industri teknologi tinggi lain.

Kesimpulannya, kegagalan kempen boikot adalah disebabkan kita tidak mampu menyediakan alternatif kepada apa yang kita boikot. Akhirnya, kempen hanya tinggal kempen, masyarakat tetap membeli produk luar untuk keperluan harian. Amerika akan terus gah menguasai dunia dan membunuh umat Islam secara senyap. Kita hanya terus bersorak dan bersorak.




1 ulasan:

Zawir Al-Hamidi berkata...

Saya sangat bersetuju dengan pendapat saudara. Seharusnya kita memberi tumpuan untuk membangunkan produk tempatan sebelum memboikot produk luar. Tetapi kita juga haruslah realistik bahawa untuk mencapai matlamat itu juga memakan masa puluhan tahun.